Penutup

Posted: 8 May 2014 in Uncategorized

Assalamualaikum w.b.t, 

Secara keseluruhannya, pengamalan Islam di Thailand tidak sepenuhnya kerana majoriti penduduk di negara tersebut beragama Buddha dan agama Islam merupakan agama minoriti di sana. Umat Islam Thailand kebanyakannya bermastautin di Bangkok dan lima wilayah selatan iaitu Yala, Pattani, Narathiwat, Satun dan Songkhla iaitu kira-kira 1 769 818 penduduk Islam di wilayah selatan Thailand dan 274 100 warga Islam di Bangkok.

Antara institusi pembangunan Islam yang banyak terdapat di Thailand ialah institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media massa, peribadatan, hisbah dan halal. Institusi perbankan di Thailand masih lagi berpegang kepada sistem perbankan konvensional justeru hanya terdapat sebuah sahaja institusi perbankan berasaskan Islam iaitu Islamic Bank of Thailand. Amanah Islamic Cooperative Limited pula ialah koperasi bebas riba’ yang ditubuhkan bertujuan untuk menggalakkan simpanan ahli-ahli perniagaan Islam di Thailand. Dana tersebut akan disalurkan untuk kegunaan perniagaan Islam yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam serta kebajikan umat Islam di sekitar Thailand.

Seterusnya, institusi hisbah di Thailand diuruskan oleh The Central Islamic Council of Thailand (CICOT) yang diketuai oleh Sheikhul Islam Thailand atau dikenali sebagai “Chula Racamontri” oleh warga Thailand. Majlis ini berperanan untuk menasihati kerajaan dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam, mengeluarkan sijil produk makanan halal, menguruskan sijil perkahwinan serta pengesahan memeluk agama Islam oleh mualaf dan sebagainya.

Di samping itu, Thailand tidak mempunyai sistem zakat yang khusus seperti di Malaysia untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun terdapat pejabat Sheikhul Islam yang menguruskan hal ehwal agama Islam, namun zakat lebih aktif diuruskan oleh institusi lain misalnya oleh Islamic Bank of Thailand dan institusi-institusi qariyah atau tempatan (seperti daerah dan kampung). Antara institusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan zakat di Thailand ialah The Foundation of Islamic Centre of Thailand (FICT) dan Zakat Foundation of America.

Dalam aspek kualiti laman web, kebanyakan institusi pembangunan berteraskan Islam di Thailand mempunyai laman web yang memudahkan orang ramai sama ada warga tempatan mahupun warga asing untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan organisasi tersebut dan cara menghubunginya. Namun demikian terdapat beberapa kelemahan yang telah dikenalpasti antaranya masalah bahasa dan pengemaskinian laman web.

Contohnya, sesetengah laman web institusi Islam di Thailand tidak menyediakan pilihan dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris untuk memudahkan pengunjung laman web mereka yang tidak tahu berbahasa Thai memahami isi kandungan laman web tersebut. Hal yang demikian berbeza sekali dengan kebanyakan laman web universiti bukan berasaskan Islam di Thailand yang menyediakan laman web dwibahasa. Hanya terdapat segelintir sahaja laman web institusi pendidikan berteraskan Islam di Thailand yang menyediakan kemudahan dwibahasa ini.

Selain itu, sesetengah pautan laman web yang dipaparkan di laman-laman web tersebut tidak lagi wujud dan sudah tamat tempoh penggunaannya. Malah, terdapat juga segelintir laman web yang tidak mengemaskini maklumat terbaru berkaitan dengan organisasi mereka. Masalah ini secara tidak langsung hanya mengambil ruang laman web tersebut dan menyukarkan pengguna yang mahu mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan organisasi tersebut.

Kesimpulannya, walaupun Islam merupakan agama minoriti di Thailand, jumlah institusi Islam di negara tersebut berada pada tahap yang memuaskan. Institusi-institusi berteraskan Islam di Thailand telah membangunkan laman web untuk kemudahan masyarakat namun terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki oleh pengendali laman web tersebut dari semasa ke semasa.

Leave a comment